Benar, Hidup Bukan Mudah

3/7/15




"Life is not easy"


Assalamualaikum dan hai loves!~


Life is not easy. Itu yang aku dengar daripada cikgu aku hari tu. Bukan mudah dari segi apa? Semua. Kadang-kadang kita di atas , kadang-kadang kita terpaksa jatuh. Kadang-kadang orang senang dengan kita, kadang-kadang tidak. Kadang-kadang kita tiada masalah, kadang-kadang kita sentiasa ada masalah. Itu adalah kehidupan. Sebab itu, hidup tak mudah.


Jatuh bangun. Hidup ni, kita akan sentiasa ada jatuh bangunnya. Kalau hari ni kita di atas, bukan selamanya kita akan berada di atas. Begitu juga sebaliknya. Aku rasa itu adalah benda biasa yang berlaku. Kita tak boleh untuk terus yakin yang kita akan sentiasa berjaya, kita akan sentiasa dihormati, kita akan sentiasa dikagumi. Tidak. Suatu saat nanti, kita mungkin tak dipandang lagi, kita mungkin susah untuk dapatkan apa yang kita mahu. Tapi kena ingat, innallaha ma'ana.


Manusia. Manusia salah satu perkara yang buat orang kata kehidupan itu tidak mudah. Macam-macam jenis manusia yang ada atas muka bumi Allah ni. Kita tak mampu untuk senangkan hati manusia selalu, tambahan lagi dengan manusia yang sentiasa nampak kesalahan kita dan lupa mungkin mereka punya kesalahan lebih banyak dan lebih besar daripada kita . Kebaikan kita, mereka tak akan pernah ingat dan keburukan kita akan mereka ingat sampai bila-bila. Manusia juga jenis yang suka menebak sesuka hati apa yang orang lain niatkan. Mereka kata kita itu ini, padahal kita tiada niat langsung seperti apa yang mereka anggap. Ada juga manusia yang jenis bermuka-muka. Ada juga jenis manusia yang suka dengan kejatuhan kita. Dan ada juga manusia yang tak senang dengan kita walaupun mereka tak pernah kenal kita. Itu, manusia. Tapi kena ingat, innallaha ma'ana.


Masalah. Hidup tak pernah lari dari masalah. Masalah sentiasa akan datang. Aku juga kadang-kadang lemah dengan masalah. Bagi aku, masalah itu ujian. Ujian yang kita semua kena lalui untuk tengok kesabaran kita. Masalah besar atau kecil, pasti ada jalan penyelesaiannya. Kena cari dan fahami. Kita tak boleh lari dari masalah kerana semakin kita lari, semakin laju masalah kejar kita. Itu yang aku faham. Tapi kena ingat, innallaha ma'ana.


Apa yang kita mahukan dalam hidup ni, kita tidak akan sentiasa dapat. Sebab apa? Sebab Allah dah aturkan jalan hidup kita yang paling baik. Kadang, kita susah nak cari hikmah kenapa sesuatu perkara tu terjadi pada kita. Tapi, lambat laun mesti kita nampak hikmahnya. Itupun kalau kita sentiasa guna akal untuk selak tirai hikmah. Kita selalu nampak buruknya sesuatu perkara hingga lupa ada manisnya pada perkara itu. Susah untuk terima apa yang berlaku kan? Sebab hidup bukan mudah. Kalau untuk aku, kehidupan yang perlu aku tempuh ni masih terlalu jauh dan masih terlalu banyak perkara yang perlu aku lalui. Tapi walau apa pun yang berlaku, sentiasa ingat Tuhan dan percaya Dia ada untuk kita.


InsyaAllah...